Nur Helmi  menunjukkan antara cermin mata wakaf di Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi yang diusahakannya.
Nur Helmi menunjukkan antara cermin mata wakaf di Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi yang diusahakannya.
Mahaizura Abd Malik

Bangi: Berbekalkan pengalaman selama 18 tahun dalam bidang optometri dan niat mahu berkongsi rezeki, Nur Helmi Mohammad Yusof kini menyediakan cermin mata yang dikhaskan untuk kegunaan jemaah surau serta masjid yang mengalami masalah penglihatan.

Jelasnya program itu dimulakan awal tahun lalu dan setakat ini, ratusan jemaah di lebih 15 masjid serta surau sekitar Bandar Baru Bangi selain di Kuantan, Pahang memperoleh manfaat menerusi Program Wakaf Cermin Mata dianjurkan.

Pemilik dan pengasas Prisma Optometrist Bangi serta Prisma Optometrist Kuantan itu berkata, keluhan pelanggan yang sukar ke masjid serta surau bagi mengikuti aktiviti keagamaan akibat masalah penglihatan mendorongnya menganjurkan program itu.

“Saya pernah didatangi pelanggan warga emas yang ada masalah penglihatan, dia mengadu payah hendak ke surau dan masjid. Bermula daripada kejadian itu saya nampak kepentingan menyediakan cermin mata untuk kegunaan jemaah seperti warga emas terbabit.

“Jadi, berbekalkan pengalaman dalam bidang ini saya berniat berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan agar mereka berasa lebih selesa dan bersemangat untuk beribadat khasnya sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Menurutnya, bagi projek perintis dia memberikan fokus kepada masjid dan surau sekitar Bangi dan Kuantan yang terletak berhampiran premis perniagaan miliknya.

Katanya, menerusi program itu jemaah boleh menggunakan cermin mata yang disediakan untuk kegunaan di dalam masjid atau surau tanpa perlu meminta kebenaran daripada Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK).

“Terpulang kepada jemaah terbabit, nak letak semula cermin mata itu ditempat ia diambil atau terus bawa pulang ke rumah. Cermin mata disediakan pelbagai jenis membabitkan jenis masalah rabun dan panduan usia untuk memudahkan jemaah buat pilihan.

“Setiap tiga bulan sekali kami menyelenggara dan menggantikan mana-mana cermin mata yang rosak atau yang sudah dibawa pulang oleh jemaah,” katanya.

Nur Helmi berkata, dia memperuntukan RM2,000 untuk menyediakan sehingga 100 cermin mata di setiap masjid dan surau terpilih.

Dia memberitahu, bekalan cermin mata dan kanta diperoleh daripada pembekal di Puchong, dia menerima harga istimewa yang berpatutan.

“Meskipun baru setahun program ini berjalan saya terima maklum balas amat positif. Malah ada dalam kalangan AJK masjid dan surau minta program ini dianjurkan di tempat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 4:08 AM