Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Pada usia masih kecil, seorang bayi perempuan sudah diuji dengan penderitaan apabila jantungnya berlubang selain saluran paru-parunya juga tersumbat.

Keadaan itu menyebabkan Nurmikayla Sumayyah Mohammad Badrul Nizam Ikmal yang berusia setahun lapan bulan itu kerap mengah dan kebiruan.

Ibunya, Rozita Jamil, 35, berkata, dia dan suami, Mohammad Badrul Nizam Ikmal Ahmad Saarani, 29, buntu memikirkan nasib dialami anak bongsu mereka itu.

"Kami tidak sangka ujian ini berlaku kepada anak kami kerana dia lahir normal macam bayi lain, malah semasa dalam kandungan juga doktor tidak menemui sebarang perkara tidak normal.

"Namun segalanya berubah apabila usianya enam bulan, oksigen dia menurun dan doktor mengesahkan dia kekurangan oksigen akibat jantung berlubang dan saluran paru-paru tersumbat," katanya.

Suri rumah itu berkata, masalah itu mengakibatkan aktiviti harian anaknya terjejas serta tidak boleh terlalu keletihan.

"Dia aktif bermain macam biasa, cuma tidak boleh terlalu penat, menangis terlalu kuat atau makan terlalu banyak nanti cepat mengah.

"Biasanya kami akan pantau perkara itu bagi mengelak risiko lebih buruk berlaku seperti kebiruan.

"Disebabkan itu juga, tumbesarannya terbantut apabila berat badan dan ketinggian tidak normal," katanya.

NURMIKAYLA Sumayyah Mohammad Badrul Nizam Ikmal menerima rawatan pesakit jantung berlubang di Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
NURMIKAYLA Sumayyah Mohammad Badrul Nizam Ikmal menerima rawatan pesakit jantung berlubang di Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah

Katanya, mereka memerlukan RM80,000 bagi membiayai kos pembedahan anaknya itu di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

"Suami saya cuma bekerja sebagai penghantar barangan dengan pendapatan RM1,750 sebulan.

"Jadi, kami tidak mampu menyediakan dana bagi membiayai rawatan anak kami kerana pendapatan suami sekadar cukup untuk keperluan kami empat beranak saja.

"Harapan kami supaya orang ramai sudi menyumbang dan mendoakan kesihatan anak kami bertambah baik dengan pembedahan ini supaya dia berpeluang hidup seperti kanak-kanak lain," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu bayi itu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur atau menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP (MAYBANK - 5141-0532-3170).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 5:15 PM