GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Mamat


KERAJAAN Melaka membenarkan sektor perniagaan dan aktiviti riadah beroperasi semula bermula esok, sejajar dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran itu membabitkan perkhidmatan menggunting serta mendandan rambut, pusat kecantikan serta salun yang tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, turut dibenarkan beroperasi di Melaka ialah pasar terbuka termasuk pasar pagi, pasar malam dan bazaria berkuat kuasa Isnin ini dan tertakluk kepada SOP diselaras dan diumumkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafar Atan pada Khamis ini.

"Langkah itu berikutan timbul kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku pengumpulan orang ramai yang bersesak-sesak di kawasan pasar terbuka berkenaan.

"Banyak aspek perlu diteliti dan diperhalusi bagi memastikan keselamatan peniaga dan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan.

"Justeru, kerajaan negeri akan mengeluarkan SOP lebih ketat bagi mengelakkan kluster baharu di samping memastikan negeri ini terhindar daripada diisytiharkan sebagai kawasan atau zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya dalam satu kenyataan di Ayer Keroh, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 9:45 PM