Mahaizura Abd Malik


KEBENARAN pembukaan semula operasi kedai gunting rambut, salun kecantikan dan aktiviti perniagaan pasar malam akan diputuskan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi perniagaan itu sama ada akan dibenarkan mahupun tidak hanya akan diputuskan selepas melihat prosedur operasi standard (SOP) dibentangkan, Sabtu ini.

"Banyak perkara kita minta dibentangkan Sabtu nanti misalnya SOP kedai gunting dan salun kecantikan. Difahamkan ia sudah siap tetapi kita minta bentang dalam mesyuarat seterusnya.

"Begitu juga pasar malam, ramai minta dibuka (tetapi) kita belum tengok SOP mereka. Kita minta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bentangkan Sabtu ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

KEBENARAN pembukaan pasar malam akan diputuskan dalam masa terdekat. FOTO NSTP
KEBENARAN pembukaan pasar malam akan diputuskan dalam masa terdekat. FOTO NSTP

Dalam pada itu, katanya, cadangan solat jemaah dibenarkan mengikut kapasiti keluasan sesebuah masjid dan surau juga akan dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Sabtu ini.

"Ada cadangkan solat jemaah ikut keluasan masjid misalnya Masjid Putrajaya, kalau buat penjarakan sosial satu meter bukan 30 orang, mungkin boleh muat sampai 200 misalnya.

"Kalau masjid besar mungkin lebih ramai, bagaimanapun mesti ada penjarakan sosial dan SOP lain.

"Perkara ini kita serahkan kepada Menteri Agama bentangkan kepada mesyuarat, Sabtu ini untuk dapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebagainya jika perkara itu mahu dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 4:52 PM