Datuk Seri Mohd Redzuan (tengah) bersama Datuk Roslan (dua dari kiri) pada majlis  Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.
Datuk Seri Mohd Redzuan (tengah) bersama Datuk Roslan (dua dari kiri) pada majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


SEMAKIN ramai tokoh akademik dan golongan profesional menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas yakin dengan sumbangan dan khidmat bakti diberikan kepada masyarakat.

Malah peranan besar ditonjolkan APM dalam membendung pandemik Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu membuktikan kemampuan APM dari segala aspek.

Terbaru Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohammad Naim Yaakub dianugerahkan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kehormat APM.

Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu APM itu diadakan di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Turut hadir menyempurnakan majlis itu adalah Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Datuk Roslan Wahab.

Majlis itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof.

Penyampaian watikah turut diberikan kepada Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Hafeez Mohd Yunus

yang dianugerahkan pangkat Kolonel Bersekutu.

Turut menerima watikah adalah Pegawai Tugas-Tugas Khas 2 kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Razak Khamis

yang dianugerahkan pangkat Leftenan Kolonel Bersekutu.

Pelantikan pangkat ini adalah di atas sumbangan dan sokongan mereka memperkasa dan meluaskan lagi peranan APM dalam membantu masyarakat.

Datuk Seri Mohd Redzuan melahirkan rasa bangga susulan pembabitan masyarakat pelbagai peringkat dalam APM sekaligus memberikan contoh serta dorongan kepada dorongan masyarakat untuk menyertai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia.

Sementara itu, Roslan berkata, pihaknya berharap pembabitan dan sokongan dari semua pihak termasuk Pegawai Kehormat dan Bersekutu dapat diperluaskan bagi memperlihatkan keberadaan APM di segenap masyarakat sekaligus meningkatkan kepercayaan terhadap mutu perkhidmatan APM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 9:47 AM