MOHD Redzuan (kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin Hotel Everly. FOTO SAMADI AHMAD
MOHD Redzuan (kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin Hotel Everly. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


JASA dan peranan besar Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diiktiraf kerajaan. Ini dibuktikan apabila kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun anggota pasukan APM berkuatkuasa awal Mac lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, kenaikan kadar elaun baharu itu adalah pengiktirafan kerajaan atas pengorbanan dan sumbangan bakti anggota APM kepada negara.

Beliau berharap kenaikan kadar elaun itu menjadi suntikan dan pembakar semangat untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik jabatan itu demi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

"Kerajaan bersetuju kadar elaun anggota sukarelawan APM dinaikkan sebanyak RM2 sejam dengan peruntukkan sebanyak RM24 juta setahun," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Kuarantin Hotel Everly, di Putrajaya tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datin Mastura Yazid dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Bayaran elaun ini membabitkan Pegawai Sukarela APM berpangkat Staf Muda (Pertahanan Awam) dan ke atas yang ketika ini menerima elaun sebanyak RM7.80 sejam sebelum dinaikkan kepada RM9.80 sejam.

Bagi anggota sukarela Lain-Lain Pangkat (LLP) berpangkat Prebet hingga Pegawai Waran (Pertahanan Awam) yang menerima bayaran RM6 sejam akan dinaikkan kepada RM8 sejam.

Mohd Redzuan berkata, kenaikan elaun ini juga bagi mengiktiraf anggota APM yang bertungkus lumus membantu negara dalam menangani pendemik Covid-19.

Katanya, inisiatif ini juga dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai pasukan sukarelawan ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota APM yang menjadi barisan hadapan menangani Covid-19. Negara menghargai dan menyanjung jasa serta pengorbanan yang diberikan," katanya.

Anggota APM sebelum ini berperanan besar menyelia pusat-pusat kuarantin di seluruh negara selain membantu melakukan saringan kesihatan selain menyalurkan bantuan kepada penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak awal Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 4:56 PM