Syarifah Dayana Syed Bakri; Hayati Ibrahim; Raja Noraina Raja Rahim dan Sri Ayu Kartikawati Amri


BAGI menggalakkan penggunaan perkhidmatan bayaran tanpa sentuh, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna.

Melalui Program e-Penjana yang bernilai RM750 juta, orang ramai juga akan mendapat tambahan baucar, pulangan tunai dan diskaun berjumlah RM50 daripada syarikat khidmat e-dompet.

Inisiatif ini akan bermula pada Julai 2020 dan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta juga akan menjalankan kempen "Shop Malaysia Online" bagi menggalakkan rakyat berbelanja secara atas talian, di mana

kod promosi dan pelbagai baucar diskaun akan diberi melalui platform e-dagang.

"Sebagai permulaan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta yang akan dipadankan dengan jumlah sama oleh platform e-dagang.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran.

"Penutupan ekonomi selama dua bulan menyebabkan perniagaan menghadapi masalah aliran tunai termasuk untuk membayar gaji pekerja dan sewa premis.

"Selepas ekonomi dibuka semula, kerajaan juga menerima maklum balas daripada sektor perniagaan mengenai pengurangan permintaan daripada pelanggan serta ketidak upayaan peniaga untuk menggunakan teknologi digital bagi menjana jualan atas talian," katanya.

Menurutnya, dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada khidmat

digital atau atas talian, kerajaan bersama sektor swasta akan membiayai usaha berkenaan melalui geran padanan sebanyak RM140 juta.

"Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan.

"Inisiatif ini akan diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang terpilih," katanya pada Perutusan Khas Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) oleh Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di beberapa saluran televisyen hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan, kerajaan akan meneruskan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta untuk membolehkan lebih banyak syarikat melanggan atau menggunakan perkhidmatan digitalisasi.

"Ini termasuk RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi; RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah; dan RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Berita berkaitan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA):

  • Internet percuma 1GB sehingga 31 Disember
  • RM50 masuk e-dompet
  • Pengecualian cukai jualan kereta penumpang
  • RM300 untuk OKU, ibu tunggal
  • Individu hilang pekerjaan boleh tuntut elaun latihan
  • Waktu operasi UTC dilanjutkan
  • Majikan ambil pekerja dapat insentif
  • Pengangkutan awam tanpa had dengan MY30
  • Program subsidi upah dilanjutkan 3 bulan lagi
  • Inisiatif beli barangan Malaysia
  • RM75 juta bantu ekonomi gig
  • Empat langkah aktifkan industri pelancongan
  • Geran untuk pengendali taska
  • 80 peratus kes Covid-19 pulih sepenuhnya
  • Pelan Jana Semula Ekonomi Negara diperkenal
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 4:31 PM