KEADAAN rumah warga emas yang terbakar di Lundu. FOTO Ihsan JBPM.
KEADAAN rumah warga emas yang terbakar di Lundu. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


WANITA warga emas dan cucu berusia tiga tahun melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sileng Melayu, Lundu, hari ini.

Wanita berusia 70 tahun itu melecur di muka dan lengan kiri manakala cucu perempuannya melecur di muka dan kedua-dua tangan serta kaki.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.25 tengah hari.

Beliau berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikejarkan ke lokasi, sejurus menerima panggilan itu.

"Setiba di lokasi kejadian, didapati api sedang marak di tingkat atas sebuah rumah jenis separuh kekal.

"Anggota berjaya mengawal kebakaran daripada memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan dan selepas api berjaya dipadam sepenuhnya pada 12.44 tengah hari, didapati 80 peratus rumah itu musnah," katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit serta cucunya menerima rawatan awal di lokasi sebelum dikejarkan ke Hospital Lundu untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian itu, lima lagi cucu wanita itu turut berada di rumah berkenaan dan semuanya berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian yang berlaku di tingkat atas rumah berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 4:30 PM