KEADAAN mesin basuh yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN mesin basuh yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


WANITA kritikal dipercayai terhidu asap selepas flet didiami diselubungi asap tebal dalam kebakaran yang berpunca daripada mesin basuh di rumahnya di Jalan Engku Muda Mansor, di Pekan, hari ini.

Dalam kejadian 1.41 pagi itu, mangsa Zalina Safiai, 46, dan cucunya Nur Iman Batrisha Abdullah, 10, dikatakan tidur ketika kejadian sebelum menyedari bau hangit dan melihat kepulan asap di dalam rumah mereka.

Difahamkan, kedua-duanya sempat menyelamatkan diri sebelum Zalina mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Afendi Wan Mahmud berkata, enam anggota bergegas ke lokasi kejadian di tingkat tiga bangunan flet itu dan mendapati dua mangsa itu berjaya keluar dari rumah.

“Kedua mangsa dikejarkan ke Hospital Pekan, bagaimanapun Zalina dilaporkan kritikal akibat terlalu lama menyedut asap sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

“Kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan namun masih dirawat di Hospital Pekan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Samsul Afendi berkata, kebakaran mesin basuh di rumah mangsa turut menyebabkan beberapa struktur dinding rumah terbakar.

“Bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran sekali gus dapat mengawal api daripada merebak,” katanya.

Beliau berkata, punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 9:46 AM