NOOR Muhamed menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
NOOR Muhamed menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran hari ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA warga emas melecur 80 peratus di badan ketika cuba menyelamatkan barangan berharga dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Baru Tok Kuning, Kangar hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi, tiga rumah terletak bersebelahan satu sama lain, terbakar termasuk rumah wanita itu, Aishah Mohd Tahir, 80-an.

Anak lelaki Aishah, Noor Muhamed Mohd Yusoff, 60 berkata, ibunya dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan dilapor stabil.

Menurutnya, ketika kejadian itu dia sedang berehat di rumahnya di sebelah rumah Aishah, selepas pulang dari masjid untuk solat Subuh.

“Saya berehat di dapur sebelum melihat api di rumah emak. Rumah kami memang dibina bersebelahan seperti berkembar dan saya sempat jengah emak serta memanggilnya untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu api sudah merebak ke dapur rumah saya dan segera mencari isteri dan dua anak serta ahli keluarga lain yang masih tidur,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Noor Muhamed berkata, ketika dia sibuk mengejutkan ahli keluarga, ibunya pula leka menyelamatkan barang berharga hingga tidak sedar api semakin marak dan dia hampir terperangkap.

Katanya, ibunya berjaya diselamatkan jiran yang mendukungnya keluar ke tempat selamat.

“Pasukan bomba tiba lima minit kemudian untuk memadam kebakaran dan emak dibawa ke hospital. Dia mengalami lecur di badannya,” katanya yang bersyukur keadaan ibunya stabil.

Menurutnya, kebakaran dipercayai berlaku apabila ibunya menggunakan dapur arang untuk memasak dan gagal mengawal api.

Dia menganggarkan kerugian keseluruhan dialami mereka RM150,000.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ashraf Efendi Abd Rahim yang mengetuai operasi itu berkata, ketiga-tiga rumah itu hampir musnah.

“Anggota kami dengan kekuatan seramai 11 orang berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 25 minit namun struktur ketiga-tiga unit sudah musnah.

“Wanita warga emas yang cedera akibat melecur sudah dibawa ke hospital dan tiada kemalangan jiwa lain yang dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 4:28 PM