Hayati Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


TAMAN Asuhan Kanak-Kanak (taska) yang tidak berdaftar disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjagaan kanak-kanak bagi mengelak berlaku penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sukar untuk memantau jika ada taska yang tidak berdaftar itu beroperasi dan menjaga kanak-kanak.

Menurutnya, sebanyak 7,901 taska berdaftar di seluruh negara sudah menghantar permohonan beroperasi semula mengikut SOP dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Oleh kerana mereka (taska) tidak berdaftar, maka agak sukar untuk mengawasi mereka dari segi mematuhi SOP ketat yang dikeluarkan bagi menjaga keselamatan anak-anak.

"Tapi di swasta yang tidak didaftarkan yang buat sendiri-sendiri, pemantauan agak sukar untuk SOP ini.

"Saya mohon mereka memuat turun SOP melalui laman web KPWKM dan JKM supaya dapat lihat SOP bagi menjaga kepentingan anak-anak," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, pengendali taska yang beroperasi secara haram disaran supaya berdaftar dengan KPWKM bagi membolehkan latihan diberikan sekali gus mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Katanya, penjaga di taska yang berdaftar diberi latihan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin.

"Kita bimbang taska (tidak berdaftar) sebegini kerana penjaga tidak mendapat latihan, jadi kalau ada perkara tidak baik berlaku itu adalah di luar tanggungjawab kementerian.

"Saya menyeru kepada taska persendirian walaupun menjaga tiga atau empat kanak-kanak supaya berdaftar dengan KPWKM agar mereka boleh mendapat latihan.

"Jika berlaku sebarang perkara tidak diingini, mereka tertakluk di bawah kementerian dan jika ada bantuan dana juga mereka boleh mohon," katanya.

TASKA perlu mematuhi SOP penjaga dan pengendalian kanak-kanak. FOTO ASWADI ALIAS.
TASKA perlu mematuhi SOP penjaga dan pengendalian kanak-kanak. FOTO ASWADI ALIAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:33 PM