ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB
Maiamalina Mohamed Amin dan Mahaizura Abd Malik


Bakal pengantin yang mahu disatukan dan perlu merentas negeri kini boleh berbuat demikian dengan memohon kebenaran polis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri semalam, bersetuju memberi kebenaran itu untuk memudahkan urusan akad nikah pasangan.

"Rupanya ramai yang nak bernikah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk ketika PKP Bersyarat (PKPB) ini dan antaranya perlu merentas negeri kerana pasangan di negeri lain.

"Jadi mesyuarat hari ini (semalam) faham keperluan tersebut dan bersetuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah, tetapi tertakluk syarat sama, perlu ada kelulusan polis.


"Juga patuh prosedur operasi standard (SOP) sama seperti tidak boleh bersalaman, majlis tidak melebihi 20 orang dan sebagainya," katanya pada sidang media harian, semalam.

Ismail Sabri berkata, kebenaran turut diberikan kepada jurufoto perkahwinan yang mahu mengambil gambar pengantin sama ada ketika majlis berlangsung mahupun gambar praperkahwinan.

"Kita bersetuju kerana ia tidak membabitkan ramai orang dan gambar diambil di tempat terbuka seperti tasik dan sebagainya. SOP nya tetap sama, tidak boleh ramai, perlu patuh penjarakan sosial, memakai pelitup muka serta sebagainya," katanya.

GELAGAT kanak-kanak beraktiviti pada hari kedua pembukaan pusat jagaan kanak-kanak  di Taska Permata DD di Sungai Buloh, semalam. FOTO MAHZIR MAT ISA
GELAGAT kanak-kanak beraktiviti pada hari kedua pembukaan pusat jagaan kanak-kanak di Taska Permata DD di Sungai Buloh, semalam. FOTO MAHZIR MAT ISA

Boleh mula operasi ikut SOP

Kuala Lumpur: Ibu bapa yang bekerja kini dapat menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan baki 6,696 Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) di seluruh negara beroperasi semula.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak pengurusan taska terbabit harus merujuk prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, kerajaan memutuskan kebenaran itu selepas melihat kekangan ibu bapa bekerja dan ada antara mereka dipaksa majikan terutama sektor swasta cuti tanpa gaji untuk menjaga anak kecil mereka.

"Isu ini seperti yang saya kata mereka (majikan) tidak boleh buat seperti itu, tetapi ada juga lakukan.

"Untuk selesaikan isu itu, kita sebenarnya sudah setuju membenarkan, cuma waktu itu hanya (ada) SOP asas taska, itu saja, daripada 7,000 taska hanya 304 saja beroperasi kerana tiada SOP diperkemaskan.

"Hari ini kita setuju selepas KPWKM membentangkan SOP yang kita anggap lengkap dan kemas seperti yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebagainya.

"Oleh itu, 6,696 baki taska lagi kita benarkan mereka beroperasi mulai sekarang dengan merujuk SOP melalui laman web kementerian itu dan JKM," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, semalam.

Mengenai cadangan pembukaan semula operasi tabika dan prasekolah yang dicadangkan Julai nanti, beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dipertanggungjawabkan untuk menyelaras SOP semua taman bimbingan berkenaan.

"Tabika Kemas di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Tabika Perpaduan (Kementerian Perpaduan) dan prasekolah (KPM), jadi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju KPM penyelaras tadika itu.

"Mesti cadangkan SOP untuk diselaraskan di semua tabika dan tadika di bawah kementerian berbeza ini.

"Kita akan tunggu mereka bentang SOP lengkap, kalau boleh buka Julai kita benarkan, tetapi perlu lihat SOP itu dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:45 AM