FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa segera meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO demi masa depan parti itu.

Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu berjiwa besar dan meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan berbanding kepentingan diri.

Halimah yang juga bekas Menteri Perpaduan Negara berkata, Ahmad Zahid perlu mencontohi tauladan ditunjukkan Datuk Seri Najib Razak yang meletakkan jawatan pada 2018 apabila parti tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"UMNO tidak mampu dan tidak boleh lagi menanggung segala liabiliti individu di dalam parti yang hanya meletakkan kepentingan peribadi.

"Dengan rasa penuh hormat, saya memohon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya segera meletakkan jawatan.

"Berjiwa besarlah Presiden. Bertanggungjawablah atas apa yang telah berlaku. Letakkan kepentingan parti sebagai keutamaan seperti yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 2018 bila kita kalah. Beliau buat begitu kerana sayangkan UMNO," katanya dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Halimah berkata, beliau menyokong penuh gesaan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin UMNO Johor yang mahu Ahmad Zahid segera meletak jawatannya.

Katanya, pendiriannya dan pemimpin UMNO Johor itu bersandarkan kepada kepentingan agama, bangsa, negara dan parti sekali gus mengatasi segala kepentingan peribadi mana-mana individu.

"UMNO perlukan kepada perubahan besar untuk membersihkan nama parti kita yang yang suci.

"Jangan cemarkan lagi kesucian UMNO dengan pemikiran yang dangkal tidak berasas dan tidak berprinsip demi hanya untuk kepentingan peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 2:34 PM