Shamran Sarahan dan Muhaamad Hafis Nawawi dan Redzuan Muharam


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan pusat refleksologi dan pusat urut bagi golongan orang kurang upaya (OKU) sebelum dibentangkan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jika dilihat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini masuk kepada fasa pemulihan dan menggalakkan pelbagai sektor dibuka secara berperingkat.

Menurutnya, bagi pusat refleksologi untuk OKU KKM masih memperkemaskan SOP dan akan membentangkan ke MKN untuk mendapat kelulusan dan memang pihaknya berhasrat untuk membukanya.

"Kena teliti dahulu SOP boleh diguna pakai dan kita sudah buka kedai gunting rambut, salun dan sektor lain di mana yang pasti kita sampai ke penghujung PKPP kalau boleh akan membuka semua sektor.

"Yang penting kena pastikan kes harian tidak meningkat dan jika boleh kekal satu atau dua angka kes serta boleh turunkan lagi pasti lebih banyak sektor akan dibuka," katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas keluhan dari persatuan OKU yang hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya risau jika berlaku kes mendadak selepas hari raya tetapi tiada peningkatan malah kes menurun.

"Apabila kes menurun kita akan buka lebih banyak sektor dan dalam minggu depan akan dibentangkan ke MKN mengenai SOP pusat refleksologi," katanya.

KKM akan memperincikan SOP berkaitan pembukaan pusat refleksologi dan pusat urut bagi OKU sebelum dibentangkan ke MKN. FOTO Arkib NSTP
KKM akan memperincikan SOP berkaitan pembukaan pusat refleksologi dan pusat urut bagi OKU sebelum dibentangkan ke MKN. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 6:25 PM