Lori sampah terbalik menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Tengku Kudin, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhaniy Zulkiffli
Lori sampah terbalik menyebabkan kesesakan teruk di Jalan Tengku Kudin, Georgetown, hari ini. FOTO Zuhaniy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


LORI sampah yang terbalik di Jalan Tunku Kudin, Georgetown, hari ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas sejauh tujuh kilometer hampir empat jam berikutan penutupan jalan berkenaan.

Setakat ini, kerja pembersihan dan pengalihan kenderaan di tempat kejadian masih dijalankan pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian 10.30 pagi, siasatan awal polis mendapati lori sampah itu dari arah Jambatan Pulau Pinang menghala ke Jalan Tunku Kudin.

“Ketika tiba di jalan berkenaan, lori dipandu lelaki berusia 50-an hilang kawalan dan naik ke atas pembahagi jalan sebelum merentangi jalan.

“Pemandu bersama kelindan yang juga lelaki warga Indonesia berusia 40-an cedera ringan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Soffian, kes berkenan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kerja pembersihan dan mengalihkan lori di lokasi kejadian masih dilakukan,” katanya lagi.

Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) turut menasihati pengguna jalan raya supaya menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Pengguna jalan raya juga dinasihati supaya mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 2:35 PM