Jaafar Uthman menunjukkan surat permohonan pembukaan pasar malam yang telah diserah kepada Pejabat Menteri Besar pada sidang media di sebuah Restoran di Jalan Bercham. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Jaafar Uthman menunjukkan surat permohonan pembukaan pasar malam yang telah diserah kepada Pejabat Menteri Besar pada sidang media di sebuah Restoran di Jalan Bercham. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Balqis Jazimah Zahari


LEBIH 4,000 peniaga pasar malam di daerah Kinta, Perak mahu kerajaan memberi kebenaran pasar malam beroperasi semula bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, peniaga sedia untuk memenuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sudah hampir tiga bulan peniaga tidak dapat berniaga dan ia memberi kesusahan kepada mereka yang juga mempunyai keluarga dan pelbagai tanggungan lain.

"Penyakit perlu kita kawal, tetapi peniaga juga perlu meneruskan hidup. Kita berharap kerajaan memberi kelonggaran agar peniaga boleh berniaga semula mengikut SOP," katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Pagi dan Pasar Malam Ipoh, Wong Kok Hoe; Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh, Sharul Baha Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja KecilMelayu Perkasa Perak, Kamal Razali.

Jaafar berkata, pihaknya akan memastikan peniaga dan pengunjung yang datang mematuhi SOP berhubung penjarakan sosial supaya wabak Covid-19 tidak menular.

"Kita akur arahan kerajaan seperti mengehadkan jumlah peniaga, memastikan garis penanda pada gerai, jalan keluar dan masuk dihadkan satu lorong dan dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Selain itu, kita juga akan menyediakan cecair pembasmi kuman dan setiap pengunjung akan diperiksa suhu badan," katanya.

Katanya, bagi memastikan penjarakan sosial, pihaknya bercadang untuk membahagikan satu pasar malam kepada dua lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2020 @ 5:37 PM