PPPKM Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta menyerahka sumbangan kepada 100 peniaga kecil melalui kaedah pandu lalu. FOTO IHSAN PPPKM
PPPKM Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta menyerahka sumbangan kepada 100 peniaga kecil melalui kaedah pandu lalu. FOTO IHSAN PPPKM
Balqis Jazimah Zahari


SERAMAI 100 peniaga kecil mampu menarik nafas lega apabila menerima bantuan daripada Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta.

Dalam mendepani pandemik Covid-19, bantuan berupa kotak makanan keperluan dan wang tunai itu disampaikan melalui kaedah pandu lalu

Pengerusi PPPKM Zahari Abd Murad berkata, bantuan itu sebagai inisiatif persatuan untuk membantu ahli khususnya golongan yang memerlukan akibat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tindakan ini (PKP) adalah satu langkah yang sangat perlu bagi mengekang penularan Covid-19. Namun, ia memberi kesan khususnya kepada penjaja dan peniaga kecil yang sumber pendapatan mereka hanyalah berniaga sepenuh masa.

“Bagi mematuhi kehendak PKP yang sedang berkuatkuasa, persatuan memutuskan untuk membuat serahan dengan konsep pandu lalu (drive thru),” katanya.

Zahari berkata, penerima hanya perlu menunggu dalam kenderaan masing-masing dan menerima barangan sumbangan mengikut turutan kenderaan.

“Dengan cara ini dapat meminimakan sentuhan dan menjaga penjarakan sosial,” katanya.

Katanya, persatuan juga sentiasa mengalu-alukan sebarang sumbangan sama ada berbentuk wang tunai mahupun barangan daripada penderma untuk disalurkan kepada ahli yang memerlukan.

Tambahnya, PPPKM Perak Cawangan Kinta mempunyai seramai 781 ahli berdaftar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2020 @ 5:09 PM