Datuk Seri Amirudin Shari.
Datuk Seri Amirudin Shari.
Norzamira Che Noh


KERAJAAN Selangor hari ini memutuskan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi yang tertangguh sebelum ini beroperasi semula mulai esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi semula itu dibuat selepas mesyuarat diadakan bersama Datuk Bandar, Yang DiPertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pegawai-pegawai daerah.

"Kerajaan negeri akan membenarkan pengoperasian sepenuhnya restoran, medan selera, gerai berbumbung dan kiosk termasuk untuk aktiviti makan dan minum dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

"Ia bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial. Namun, membuka meja di kawasan kaki lima dan parkir tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, peniaga restoran turut digalakkan untuk memberi pilihan pra-tempah (pre-order) kepada pelanggan bagi mengelakkan kesesakan di dalam kedai.

Jelasnya, penguat kuasa PBT akan turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan Prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan berada di tahap optimum.

"Penjaja makanan dalam kategori tidak ada premis seperti 'food truck' dan penjaja tepi jalan boleh mula beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam, namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran saja.

"PBT akan meneliti keperluan penggiliran penjaja-penjaja beroperasi sekiranya kedudukan mereka berdekatan satu sama lain yang menyukarkan penjarakan sosial diamalkan oleh pembeli," katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, sebarang bentuk aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan seperti ayam di pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta adalah tidak dibenarkan, manakala aktiviti pasar yang lain dibenarkan beroperasi seperti biasa, manakala larangan operasi pasar pagi dan pasar malam adalah kekal buat masa ini.

Katanya, rakyat Selangor kini dibenarkan beriadah di taman-taman termasuk aktiviti memancing bermula jam 7 pagi hingga 7 malam bagaimanapun aktiviti seperti pendakian dan perkhemahan masih tidak dibenarkan.

"Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengeluarkan pekeliling yang lebih terperinci bagi tujuan rujukan dan penguatkuasaan lanjut bermula 13 Mei 2020 sehingga 9 Jun ini

"Sebarang bentuk aktiviti atau perkara lain yang tidak diperincikan adalah kekal tertakluk seperti yang digariskan dalam SOP yang disediakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 8:37 PM