GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kini beroperasi dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak penularan kembali Covid-19.

Pasar borong terbesar negara itu sebelum ini ditutup seminggu kerana operasi sanitasi selepas peniaga dan pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan Sesi Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, pasar borong beroperasi semula pada 26 Januari lalu selepas kerja sanitasi selesai.

Menurutnya, semua peniaga dan pekerja disyaratkan untuk menjalani saringan Covid-19 bagi memastikan mereka bebas wabak itu.

"Peniaga serta pekerja perlu kemukakan surat pengesahan ujian saringan mereka negatif sebelum dibenarkan berniaga dan bekerja.

"Langkah ini memastikan kejadian sama tidak berulang dan semua yang terbabit dalam rantaian perniagaan di pasar borong bebas Covid-19," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, pembeli juga perlu mematuhi SOP sekiranya mahu membeli barangan di pasar borong seperti yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, langkah itu perlu untuk memastikan perniagaan di pasar borong tidak terhenti sekali lagi dan memberikan impak kepada ekonomi domestik.

"Jika pasar borong berhenti beroperasi sudah pasti ia menjejaskan peniaga lain yang memerlukan barang keperluan untuk berniaga," katanya.

Bulan lalu, pasar borong berkenaan diarahkan tutup selepas lebih 100 peniaga dan pekerja disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 4:58 PM