PENJAJA perlu patuhi SOP. FOTO NSTP
PENJAJA perlu patuhi SOP. FOTO NSTP
Balqis Jazimah Zahari


PERAK sudah bersedia untuk melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada pihak berkuasa tempatan bagi membenarkan penjaja atau peniaga kecil berniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perkara itu sebelum ini sudah dibincangkan ketika mesyuarat diadakan bersama PBT.

"Asalkan MKN sudah memberi kebenaran (penjaga dan peniaga kecil beroperasi), kita memang sudah bersedia dan hanya menunggu saat diluluskan, ini kerana kita kasihan terhadap semua peniaga.

"Tetapi, SOP perlu dipatuhi dengan cara yang paling tepat kerana kita tidak mahu nanti ada masalah gelombang ketiga atau keempat pesakit Covid-19 di negeri ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nolee Ashilin berkata, berikutan itu SOP yang agak ketat akan dikenakan dan mengikut apa yang ditetapkan di peringkat PBT.

"Bagi pasar seperti Gerbang Malam di bandaraya ini, kita sudah boleh membayangkan bagaimana kita hendak menyusun atur gerai berkenaan supaya mematuhi SOP.

"Untuk kawasan lain ia akan mengikut kesesuaian di lokaliti berkenaan dan kaedahnya agak berbeza. Jadi ia tidaklah semudah itu untuk kita membuka terus dan semua orang berniaga kerana ia akan berbalik kepada SOP ditetapkan MKN untuk pematuhan penjarakan sosial," katanya.

Katanya, kerajaan tempatan sedang dalam kajian bersama dengan PBT bagaimana cara untuk membenarkan peniaga beroperasi dalam kaedah SOP yang ditetapkan MKN dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tempat yang sudah ditetapkan kaedah persetujuan daripada pihak peniaga, secepat mungkin boleh beroperasi," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kerajaan bersetuju membenarkan pembukaan semula pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di seluruh negara bermula 15 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pembukaan semula pasar terbabit tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 5:23 PM