Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


WARGA emas di Felda Lasah, Sungai Siput menganggap sumbangan orang ramai yang mencecah RM80,000 buatnya sekeluarga sangat bermakna dalam menghadapi musibah kebakaran.

Namun, Zainudin Mohd Noor, 71, berkata, syukurnya berganda kerana Allah SWT masih memelihara keselamatan empat cucu serta anak menantunya ketika kejadian itu berlaku.

Menurutnya, kejadian pada 19 Mei lalu menyebabkan rumah dihuni bersama anak ketiganya, Shahrul Azmi, 43, sekeluarga musnah sepenuhnya.

"Saya reda rumah pusaka yang didiami bersama arwah isteri 35 tahun lalu musnah, dan sangat bersyukur anak saya, menantu dan empat anak mereka terselamat.

"Tidak sangka pula Jawatankuasa Masjid Ar-Rahmaniah Felda Lasah membuat tabung dan sumbangan diberikan orang ramai sehingga RM80,000. Saya sangat terharu, tak tahu nak gambarkan bagaimana. Terima kasih banyak-banyak kepada penyumbang.

"Wang ini akan saya dan anak manfaatkan bagi membina semula rumah kami yang sudah musnah," katanya ketika ditemui sebaik menerima sumbangan yang disampaikan Pengerusi Masjid Ar-Rahmaniah, Dr Ahmad Fadhil Mohamad Shahidi.

Hadir sama, Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lintang Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Zainudin turut dibantu Sahabat Jariah Malaysia dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak yang menyumbang RM9,000 dan RM7,000.

RUMAH Zainudin yang musnah dalam kebakaran 19 Mei lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
RUMAH Zainudin yang musnah dalam kebakaran 19 Mei lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sementara itu, Dr Ahmad Fadhil berkata, pihaknya melakukan hebahan sebaik tragedi menimpa keluarga Zainudin dan kutipan diterima menerusi perbankan dalam talian.

"Keberkatan 10 hari terakhir Ramadan memandangkan kebakaran berlaku pada 26 Ramadan. Tuan rumah (Zainudin) juga bersetuju agar lebihan sumbangan yang diterima, disalurkan kepada tabung masjid bagi tujuan kebajikan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 10:47 AM