Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kampar: "Selepas mengeluarkan emak dari rumah, saya cuba menyelamatkan ayah yang lumpuh namun gagal apabila katilnya tersekat pada pintu," kata Shabilah Mohamed Musa, 47.

Shabilah adalah anak tiri kepada Ahmad Busir Ghazali, 51, yang rentung dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak, di sini, malam tadi.

Katanya, kejadian 11.40 malam itu disedari ibunya, Ngah Dimah Tamin yang berusia 60-an selepas terlihat api kecil di bilik tidur.

Dia berkata, kedudukan rumahnya yang bersebelahan menyebabkan menjadi kelaziman ibu melaung namanya untuk meminta bantuan.

"Mulanya saya fikir itu hanya laungan biasa, jadi saya tidaklah terlalu bergegas ke rumah ibu.

"Sampai saja di rumah emak, saya lihat api membakar bahagian atas sebuah bilik. Ketika itu juga saya bawa emak keluar sebelum berusaha menyelamatkan ayah.

"Bagaimanapun saya gagal mengeluarkan ayah yang ketika itu berada di ruang tamu memandangkan katil boleh laras tersekat ketika melalui pintu rumah.

"Saya kemudian bergegas mengejutkan suami dan anak yang tidur bagi meminta bantuan.

"Api marak terlalu cepat hinggakan tiba saja depan pintu rumah emak, saya dapati separuh tubuh ayah disambar api," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

SHABILAH ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Tembak. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SHABILAH ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Tembak. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Katanya, arwah yang diserang angin ahmar baru keluar dari hospital Isnin lalu selepas lebih sebulan dirawat.

Shabilah mengakui dia terkilan kerana gagal menyelamatkan bapa tirinya yang disifatkan mesra dan gemar menghulurkan pertolongan kepada penduduk kampung ketika sihat.

"Saya rasa bersalah sangat sebab gagal selamatkan ayah. Tidak boleh ingin persalahkan suami kerana dia sememangnya menghidap masalah pendengaran. Anak kami berusia 21 tahun yang ketika kejadian masih belum tidur berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam.

"Sewaktu api menyambar tubuh arwah, dia sempat sebut 'Allah', namun ketika itu api sudah terlalu marak dan kami tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Shabilah berkata, arwah bakal disemadikan di Perkuburan Islam Kampung Air Hiram Labu, di sini, memandangkan sebelum dimasukkan ke hospital, arwah berwasiat supaya dikebumikan di situ.

KEBAKARAN membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak, di sini, malam tadi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
KEBAKARAN membabitkan tiga rumah di Kampung Padang Tembak, di sini, malam tadi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Berita berkaitan

Suami maut, isteri cedera rumah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 12:31 PM