Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah di sini yang diasaskan pada 1931 sudah melahirkan ribuan ilmuwan agama dan ia masih utuh berdiri.

Kini, pengurusan pondok berkenaan yang berusia 91 tahun diambil alih oleh generasi ketiga yang meneruskan usaha untuk terus mengekalkan pondok itu dan mengekalkan cara pembelajaran secara tradisional.

Mudir yang juga Timbalan Pengerusi Pondok, Hamdan Abdullah, 43, berkata, pondok itu diuruskan oleh beliau dan abang keduanya, Dr Luqman, 52, yang kini menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan serta ibu mereka, Kamariah@Yas Abdul Ghani, 74.

MAKHTAR Che Omar, 68, bersama pelajar Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas membaca ayat-ayat suci al-Quran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MAKHTAR Che Omar, 68, bersama pelajar Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas membaca ayat-ayat suci al-Quran. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Katanya, di pondok itu, abangnya bertindak sebagai pengerusi pondok dan mereka berdua bertanggungjawab memastikan operasi pondok berjalan lancar seperti diuruskan oleh datuknya, Allahyarham Abdul Rahman Che Wan serta bapa, Allahyarham Abdullah Abdul Rahman.

"Sebaik bapa meninggal dunia, kami mengambil alih pengurusan pondok ini dan Alhamdulillah, sistem pengajaran serta pembelajaran masih kekal seperti sebelum ini iaitu cara tradisional.

"Pondok kami tidak terikat dengan mana-mana institusi atau majlis agama dan kami bergerak sendiri dengan dana yang ada. Sistem pembelajaran kami juga adalah percuma.


"Pengajian pondok adalah daripada kitab yang tidak ada tempoh masa. Namun, pondok ini mempunyai silibus sendiri yang merangkumi semua bidang seni agama termasuk kitab, jawi dan Arab, Usuludin, Feqah, hadis, tauhid dan tasawuf," katanya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, tanggungjawab beliau dan abangnya adalah mahu meneruskan legasi pondok itu supaya ia terus kekal, sekali gus menjadi pusat pembelajaran daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Menurutnya, pengurusan dan tenaga pengajar di pondok berkenaan juga mahu membantu individu yang mahu belajar serta mendalami agama.

"Daripada segi pelajar, kita menerima mereka yang berusia belasan tahun sehingga peringkat warga emas. Pembelajaran untuk remaja ini mempunyai silibus dan mereka perlu ikuti pengajian yang diajar oleh tenaga pengajar.

"Namun, pembelajaran untuk warga emas tidak terikat. Bagaimanapun, mereka turut diberi jadual waktu walaupun mereka datang untuk mempelajari ilmu agama termasuk belajar kitab, solat lima waktu, mengaji al-Quran dan pada masa sama, mahu mencari ketenangan," katanya.

Katanya, pondok ini adalah pusat pengajian dan mereka yang datang kesemuanya mempunyai satu misi iaitu untuk menuntut ilmu.

Jelasnya, setiap apa yang diusahakan semestinya mempunyai cabaran termasuk untuk mengekalkan guru.

MOHD Faizal menunjuk gambar Allahyarham Abdul Rahman dan Allahyarham Abdullah yang menubuhkan Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
MOHD Faizal menunjuk gambar Allahyarham Abdul Rahman dan Allahyarham Abdullah yang menubuhkan Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

"Disebabkan pondok ini diwarisi daripada satu generasi ke generasi, untuk kekalkan guru adalah satu daripada cabarannya.

"Namun, saya bersyukur kerana semua pihak di pondok ini termasuk guru memberi komitmen untuk terus mengajar.

"Cabaran lain adalah daripada segi jadual pelajar, namun semua itu dapat diatasi dengan kesediaan tenaga pengajar kami yang mahu berkhidmat bagi melahirkan ilmuwan agama.

"Selain itu, dari segi kewangan kerana kami memberi pengajian percuma dan bergerak dengan dana sendiri untuk memberi elaun kepada ustaz dan ustazah yang ada," katanya.

Beliau berkata, pondok yang dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar itu mampu memuatkan 350 hingga 400 pelajar dalam satu masa.

Sementara itu, tenaga pengajar, Mohd Faizal Jusoh, 40, berkata, beliau mula mengajar di pondok itu pada 2010.

"Pelajar yang datang ke pondok itu terdiri daripada pelbagai latar belakang.

"Mereka datang dari Pahang, Terengganu, Kedah, Perak, Kuala Lumpur dan Selangor," katanya.

TENAGA pengajar, Mohd Faizal Jusoh bersama pelajar di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
TENAGA pengajar, Mohd Faizal Jusoh bersama pelajar di Madrasah Ar-Rahmaniah Ad-Diniah Pondok Lubok Tapah, Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 7:00 AM