Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: "Ketika cuba menyelamatkan motosikal dan barang peribadi, saya tidak sedar lengan dan bahu kanan melecur kerana tidak rasa sakit," kata Muhammad Azhar Tahar Suhaimi, 23, menceritakan detik rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Sayong Tengah, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang, penuntut Ijazah Sarjana Muda Arkitek Landskap, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu bersyukur kerana dia dan ibunya, Halimah Bistaman, 66, terselamat.

Anak tunggal itu berkata, kejadian disedari ketika dia sedang menyemak tugasan melalui komputer riba di ruang tamu apabila terdengar bunyi aneh seperti benda terbakar disusuli kepulan asap.

"Dalam kelam-kabut itu, saya terus mengarah emak keluar dari rumah dan cuba menyelamatkan motosikal, barang peribadi seperti motosikal, dompet dan komputer riba.

"Bagaimanapun, telefon bimbit dan bahan pembelajaran seperti lukisan arkitek gagal diselamatkan, tetapi kereta Perodua Kancil hanya rosak sedikit.

"Ketika berada di luar rumah berikutan api sudah marak, saya menyedari rasa sakit akibat melecur dan turut ditegur oleh orang kampung," katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, buat masa ini dia bersama ibunya menumpang teduh di rumah saudara yang tinggal berdekatan.

"Saya kena rancang untuk meneruskan pengajian dan tidak akan menangguh semester walaupun bahan pembelajaran musnah.

"Alhamdulillah, banyak pihak tampil menghulurkan bantuan pada saat kami dua beranak ditimpa musibah ini," katanya.

Sementara itu, Halimah berkata, dia yang mengalami masalah sakit lutuy hanya sempat menyelamatkan telefon bimbitnya selepas diarah anaknya keluar dari rumah.

"Api yang marak begitu cepat susulan angin kuat membuatkan orang kampung tidak terdaya untuk membantu memadamkan api sebelum ketibaan bomba.

"Hanya rasa sedih dan sebak yang mampu saya luahkan kerana kejadian berlaku pada 1 Syawal. Saya perlu menguatkan hati dan menganggap ini sebagai dugaan," katanya.

Dalam pada itu, Penghulu Mukim Sayong Abdullah Alang Ahmad berkata, pihaknya menghulurkan bantuan awal RM2,000 kepada mangsa melalui Tabung Bantuan Bencana Daerah.

Semalam media melaporkan seorang lelaki melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sayong Tengah, di sini, yang turut mengakibatkan dua motosikal musnah.

 Muhammad Azhar menunjukkan rumah pusaka yang dijilat api dalam kebakaran petang semalam. FOTO  MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Azhar menunjukkan rumah pusaka yang dijilat api dalam kebakaran petang semalam. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 1:51 PM