Hamzah menunjukkan tabung yang dipecah di Masjid Ar Rahmaniah (atas kanan) Felda Lasah Sungai Siput sementara Pengerusi Masjid Ijtihadiah Kampung Simpang Temin, Johari Ahmad menunjukkan gambar lucah yang diconteng pada tiang masjid. FOTO L Manimaran
Hamzah menunjukkan tabung yang dipecah di Masjid Ar Rahmaniah (atas kanan) Felda Lasah Sungai Siput sementara Pengerusi Masjid Ijtihadiah Kampung Simpang Temin, Johari Ahmad menunjukkan gambar lucah yang diconteng pada tiang masjid. FOTO L Manimaran
Muhammad Apendy Issahak

TIGA masjid sekitar daerah Sungai Siput dipecah masuk awal pagi kelmarin malah lebih teruk lagi, suspek dengan biadab menconteng isyarat dan perkataan lucah pada tiang serta papan putih dalam salah sebuah masjid terbabit.

Suspek turut bertindak memecahkan tabung masjid serta melarikan kamera litar tertutup (CCTV) selepas menyedari tempat ibadat itu dilengkapi kamera berkenaan.

Kejadian membabitkan Masjid Ijtihadiah, Kampung Simpang Temin; Masjid Ar Rahmaniah, Felda Lasah dan sebuah lagi masjid di Kampung Perlop Dua, dekat Sungai Siput dan kejadian berlaku antara jam 11 malam hingga 5.30 pagi.

Siak Masjid Ijtihadiah Ismail Abd Rani, 64, berkata, kejadian disedarinya jam 6 pagi sebaik tiba di masjid untuk solat Subuh dan melihat tabung serta beberapa barangan lain berselerak.

"Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa notis peringatan masjid dicabut dan lebih mengejutkan apabila satu tiang diconteng dengan gambar isyarat lucah manakala papan putih ditulis dengan perkataan lucah.

"Ini kerja orang yang 'terlebih pandai' kerana sanggup lukis gambar lucah dalam masjid dan saya serta jemaah doa agar mereka diberi hidayah serta bertaubat atas perbuatan yang dilakukan ini," katanya.

Setiausaha Masjid Ar Rahmaniah, Hamzah Mat Ali, 52, yang ditemui pula berkata, berdasarkan rakaman CCTV terdapat tiga lelaki memasuki kawasan masjid jam 3.22 pagi semalam.

"Ketiga-tiganya masuk melalui pintu belakang dan hanya menyedari masjid ini dilengkapi CCTV ketika mereka berada dalam masjid.

"Sebaik sedar gelagat dirakam, mereka melompat dan menyorok belakang tiang masjid yang menempatkan tabung sebelum bertindak mencabut empat kamera membabitkan dua di ruang solat dan dua lagi di luar masjid," katanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pihak pengurusan Masjid Ar Rahmaniah semalam.

"Siasatan mendapati tabung masjid di Kampung Perlop Dua dan Kampung Temin juga dipecahkan selain sebatang tiang diconteng dengan isyarat lucah.

"Ekoran dari kejadian itu satu Operasi Bersepadu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar jam 9.30 hingga 11.30 pagi di ladang sawit Kampung Talang Tengah, Sungai Siput hari ini," katanya.

Rozeni berkata, hasil serbuan 11 lelaki dipercayai penagih berusia 30 hingga 62 tahun ditangkap dan keterangan daripada beberapa tangkapan itu polis mengenal pasti seorang daripada tiga suspek yang dipercayai terbabit dalam kes pecah masjid yang dilaporkan.

"Polis kini giat mengesan suspek dan kes kecurian itu disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membabitkan kerugian wang tunai dianggarkan RM400 dari tabung yang dipecahkan dan empat unit CCTV bernilai RM1,700,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:52 PM