Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Sebuah kilang papan di Salak Baru, di sini, yang diperintahkan penutupannya oleh mahkamah susulan gagal mematuhi kehendak notis kebombaan, dikompaun RM10,000, malam tadi kerana beroperasi tanpa kebenaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa.

Dalam serbuan 9 malam tadi, lapan lelaki warga negara asing meliputi warga Myanmar, Bangladesh, dan Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun yang juga pekerja kilang itu turut ditahan ketika menjalankan kerja pemotongan kayu serta papan di kilang itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, serbuan dijalankan dengan kekuatan tiga pegawai serta sembilan anggota selain dibantu dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput hasil maklumat dari risikan.

Bagaimanapun, kira-kira 12 pekerja lain sempat meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran ketika serbuan.

Katanya, risikan mendapati kilang terbabit beroperasi tanpa kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) semasa PKP 3.0 masih berkuat kuasa selain melanggar notis penutupan yang dikeluarkan oleh mahkamah berkuat kuasa sejak 20 Mei lalu.

"Selain melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0, kilang ini juga sudah diperintahkan oleh mahkamah supaya menghentikan operasi kerana melanggar peraturan bomba dari segi keselamatan mencegah kebakaran khususnya berkenaan penyediaan saliran paip untuk kerja pemadaman api.

"Ada antara lapan warga asing itu yang mempunyai dokumen sah, namun ada yang tiada dokumen selain dokumen tamat tempoh. Mereka ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, sementara dokumen yang dipegang oleh pengurusan kilang diperiksa," katanya.

MOHD Khaizam (kiri) ketika memeriksa lapan warga asing iaitu pekerja sebuah kilang papan di Salak Baru yang beroperasi tanpa kebenaran sewaktu PKP 3.0 selain diperintahkan tutup oleh mahkamah sejak 20 Mei lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHD Khaizam (kiri) ketika memeriksa lapan warga asing iaitu pekerja sebuah kilang papan di Salak Baru yang beroperasi tanpa kebenaran sewaktu PKP 3.0 selain diperintahkan tutup oleh mahkamah sejak 20 Mei lalu. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Mohd Khaizam berkata, pengurusan kilang itu turut memberi alasan untuk tetap beroperasi iaitu kerana ingin menyusun atur kayu serta papan yang ditinggalkan di kilang berkenaan bagi mengelakkan kemungkinan daripada rosak iaitu selepas lama dibiar dan ditinggalkan susulan notis penutupan.

Menurutnya, selain beroperasi pada waktu malam iaitu selepas 6 petang, operasi kilang juga dijalankan di bangunan bahagian belakang bagi mengaburi pemantauan pihak berkuasa berikutan bahagian hadapan kilang termasuk pintu utamanya sudah dikunci oleh bomba.

"Sewaktu anggota serbuan masuk kes sini, kami terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu menerusi pintu masuk belakang yang harus melalui kawasan kilang bersebelahan. Ia berikutan semua pekerja kilang ini adalah warga asing dan tinggal di rumah dalam kawasan kilang," katanya.

Katanya lagi, kompaun RM10,000 terhadap pemilik premis berusia lingkungan 40 tahun adalah mengikut Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Bagi pekerja yang ditahan pula, kompaun tidak terus dikeluarkan memandangkan mereka adalah warga asing, sebaliknya membabitkan kertas siasatan dibuka mengikut Peraturan 17 (1) peraturan yang sama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 8:55 AM