ZALIDA Syuhana (kiri) dibantu anaknya, Nurul Erra Fatini Syamsul membuat persiapan memasak sempena sambutan Aidilfitri. FOTO Fathil Asri
ZALIDA Syuhana (kiri) dibantu anaknya, Nurul Erra Fatini Syamsul membuat persiapan memasak sempena sambutan Aidilfitri. FOTO Fathil Asri
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Kami memang merancang pulang ke kampung hari ini untuk menyambut ketibaan Syawal bersama keluarga di kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya dengan mereka.

"Tapi lain pula jadinya apabila diumumkan Aidilfitri pada hari ini. Jadi kami beraya di rumah dulu sebelum bertolak pulang ke kampung," kata Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 44.

Peniaga kuih dari Ukay Perdana itu berkata, ketika pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh perayaan, mereka sekeluarga sedang membeli kelengkapan raya di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Menurutnya, dia mengetahui perkara itu sebaik dimaklumkan oleh beberapa pelanggan lain yang turut berada di premis sama.

Terkejut mendengarnya, Zalida berkata, dia segera menghubungi ahli keluarganya di kampung memaklumkan tidak sempat untuk menyambut ketibaan Aidilfitri bersama mereka.

"Seluruh ahli keluarga saya di kampung juga kelam-kabut apabila bahan mentah untuk juadah raya belum tersedia.

"Ikut perancangan kami sekeluarga nak masak juadah tradisi iaitu nasi dagang dan lemang," katanya yang akan pulang ke Setiu, Terengganu, bersama suami dan lima anak berusia lapan hingga 18 tahun hari ini.

Tinjauan Harian Metro di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur pada 8 pagi tadi mendapati keadaan trafik sesak berikutan orang ramai mahu pulang beraya di kampung.

Sementara itu, Sahrol Anuar Mohamed, 35, yang akan pulang ke kampung isteri di Kuching, Sarawak, mengakui sangat terkejut apabila mengetahui Aidilfitri disambut hari ini.

Sahrol yang akan menaiki penerbangan pada 4 petang ini berkata, dia membeli tiket penerbangan pada minggu lalu dengan harga lebih RM300.

"Isteri dan dua anak sudah pun berada di kampung kerana isteri cuti bersalin pada 27 April lalu. Ikut perancangan saya nak bersama isteri dan anak-anak di pagi Syawal.

"Apakan daya tiket sudah dibeli, jadi saya reda dan menganggap ada hikmah. Apa yang penting saya dapat juga beraya dengan keluarga mentua selepas dua tahun tidak beraya bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 12:21 PM