FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SUSPEK lelaki yang ditahan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak perempuan warga asing di hadapan pusat beli-belah di Jalan Memanda 3, Ampang, 11 Mei lalu, dihadapkan ke Mahkamah Ampang atas pertuduhan membunuh, esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pertuduhan terhadap suspek warga asing berusia 17 tahun itu akan dilakukan pada 10 pagi.

"Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh manakala suspek wanita warga asing berusia 23 tahun akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak.

"Sementara itu, seorang wanita warga asing berusia 63 tahun dibebaskan untuk dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang pengawal keselamatan menemui mayat kanak-kanak perempuan berusia lingkungan enam tahun di lokasi itu pada 9.50 pagi, 11 Mei lalu.

Noor Azmi dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditemui dalam keadaan terbaring di atas bahu jalan.

Katanya, pemeriksaan terhadap tubuh mangsa mendapati ada kesan lebam di beberapa anggota badan termasuk lengan dan badan.

Difahamkan, mangsa dipercayai dipukul bapa tirinya menggunakan objek tumpul kerana dikatakan enggan makan.

Susulan itu, polis menahan tiga suspek berkenaan yang juga pemegang kad UNHCR untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 6:25 PM