Mohd Nazry di hadapan rumah yang terbakar dan mengorbankan bapanya di Kampung Selamat, Kuantan malam tadi. Foto Asrol Awang
Mohd Nazry di hadapan rumah yang terbakar dan mengorbankan bapanya di Kampung Selamat, Kuantan malam tadi. Foto Asrol Awang
Asrol Awang

"IA menjadi dugaan besar buat saya dan keluarga apabila kehilangan ayah ketika umat Islam akan meraikan Aidilfitri tidak lama lagi," kata Mohd Nazry Yusuf, 43.

Dalam kejadian pada 11.45 malam tadi, bapa Mohd Nazry iaitu Yusuf Hassan, 73, maut manakala tujuh ahli keluarga lain terselamat selepas banglo dua tingkat di Kampung Selamat, Kuantan terbakar.

Mohd Nazry berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya kira-kira 10 hari lalu ketika berbuka puasa dan turut menunaikan solat tarawih bersama.

"Tiada kelainan ditunjukkan tetapi ayah tidak banyak bercakap kerana dia bukan sahaja mengalami masalah kesihatan, malah turut ada masalah penglihatan.

"Jika ikutkan perancangan, saya bersama keluarga akan berhari raya di rumah ayah dan membuat persediaan pada Sabtu ini.

"Namun, saya sedih kerana ia tidak menjadi kenyataan ketika hanya beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri," katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga pesara kerajaan dipercayai maut kerana terhidu asap tebal selepas terperangkap dalam bilik air.

Ditanya mengenai keadaan ibunya, Natrah Che Mat, 69, Mohd Nazry berkata, keadaan wanita itu stabil walaupun kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Menurutnya, dia difahamkan ibunya melecur pada lengan dan leher tetapi tidak serius selain mengalami sesak nafas disebabkan terhidu asap tebal.

"Keadaan ibu stabil, manakala adik (Iqbal Fikri, 29, serta dua anak saudara Nurdina Insyirah, 17, dan Mohd Danish Iman Mohd Sukri, 6) masih menerima rawatan di wad," katanya.

Katanya, dia dimaklumkan kejadian itu oleh adiknya, Intan Julieana, 42, yang tinggal bersama ibu bapanya.

"Saya tidak tinggal bersama sebaliknya menetap di Semambu, Kuantan. Buat masa ini, adik-beradik termasuk anak saudara akan tinggal di rumah saya untuk sementara waktu," katanya.

Katanya, jenazah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Peramu, Kuantan hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui dalam bilik air di tingkat bawah banglo terbabit.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula di tingkat bawah banglo berkenaan menyebabkan kerosakan dianggarkan sebanyak 40 peratus.

"Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita berkaitan:

  • Warga emas maut terperangkap dalam kebakaran
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 4:08 PM