SEBAHAGIAN rumah yang terbakar. FOTO Asrol Awang
SEBAHAGIAN rumah yang terbakar. FOTO Asrol Awang
BERNAMA

LELAKI warga emas maut, manakala tujuh anggota keluarga termasuk isterinya terselamat dalam kebakaran di sebuah rumah banglo dua tingkat di Kampung Selamat di Kuantan malam tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata, Yusuf Hassan, 74, dipercayai maut kerana terhidu asap tebal selepas terperangkap dalam bilik air ketika kebakaran itu.

Menurutnya, tujuh lagi anggota keluarga termasuk isteri mangsa, Natrah Che Mat, 68, dan empat kanak-kanak yang berada di dalam rumah itu selamat, namun sebahagian daripada mereka melecur ringan di beberapa anggota badan.

"Mayat mangsa ditemui dalam bilik air tingkat bawah rumah itu. Kebakaran dipercayai bermula pada 11.45 malam di tingkat bawah rumah, dengan jumlah kemusnahan dianggarkan sebanyak 40 peratus," katanya semasa dihubungi hari ini.

Mohd Zahar berkata, 18 anggota bomba yang diketuai seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal api pada 12.12 tengah malam.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat.


Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 11:11 AM