RUANG yang terbakar di sebuah rumah di Seksyen 12, Shah Alam, semalam. FOTO Ihsan JBPM
RUANG yang terbakar di sebuah rumah di Seksyen 12, Shah Alam, semalam. FOTO Ihsan JBPM
Norrasyidah Arshad


IMPIAN empat beranak meluangkan masa beberapa hari di rumah keluarga di Seksyen 12, Shah Alam musnah apabila seorang daripada mereka maut dalam kebakaran, semalam.

Nenek mangsa yang enggan dikenali berkata, anaknya, Mohd Shafie Mohd Salih dan menantu, Yusmaliza Mohamad Yusof, masing-masing berusia 31 tahun, serta dua cucunya, Daaniys Humaira, 4, dan Eiman Haider, 12 bulan, datang ke rumahnya sejak beberapa hari lalu.

Katanya, Yusmaliza mengajak Mohd Shafie untuk tidur di rumahnya kerana mereka sekeluarga sudah lama tidak bermalam di situ.

“Mereka tinggal di Seksyen 6 dan datang beberapa hari lalu untuk luangkan masa bersama kami.

“Ketika kejadian berlaku, saya tidak ada di rumah kerana bercuti di Melaka bersama abang Mohd Shafie,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, Daaniys Humaira maut dipercayai lemas akibat terhidu asap selepas bilik tidur di rumah banglo milik datuk dan neneknya terbakar.

Nenek mangsa berkata, ketika kejadian, Mohd Shafie keluar untuk membeli makanan.

“Saya tidak pasti bagaimana kejadian ini berlaku. Ketika di Melaka, saya dapat panggilan telefon yang memaklumkan rumah terbakar tanpa mengetahui kehilangan Humaira dan terus bergegas pulang.

“Ketika ini, seorang lagi cucu saya Eiman Haider menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, Daaniys Humaira dipercayai maut selepas terhidu asap.

Katanya, ketika anggota bomba cuba menyelamatkan semua mangsa, Daaniys Humaira masih bernyawa manakala Mohd Shafie melecur di bahagian pinggang ke atas dan Eiman Haider mengalami kecederaan di kepala dan tangan.

“Mohd Shafie melecur ketika merempuh api bagi menyelamatkan dua anaknya, dan Daaniys Humaira dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke HSA.

“Kebakaran dipercayai bermula dari ruang bacaan rumah berkenaan yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Nek Zaidi Nek Zakaria ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah.

Berita berkaitan

Budak perempuan maut terhidu asap

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:01 PM