FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Roselan Ab Malek


SEKUMPULAN lelaki yang sedang asyik berjudi di sebuah rumah di Kampung Tempoyang di Kuala Lipis ditahan polis dalam serbuan semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis Deputi Superintenden Azli Mohd Noor berkata, serbuan pada 10.30 malam itu menahan empat lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki Indonesia serta Bangladesh.

Menurutnya, pihaknya yang ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kegiatan terbabit masuk ke rumah berkenaan selepas mendapati pintunya tidak berkunci.

Katanya, polis kemudiannya mengesan beberapa lelaki sedang duduk sambil menghadap meja di ruang tamu dan dipercayai sedang berjudi menggunakan daun terup dengan mempertaruhkan wang tunai.

"Selepas menyedari kehadiran pihak polis, kesemua lelaki tersebut cuba melarikan diri lalu hingga berlaku pergelutan tetapi berjaya ditahan," katanya hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM511 dan 52 keping daun terup, meja plastik, kerusi kayu dan kerusi plastik.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati warga tempatan yang ditahan itu terdiri daripada pemandu teksi, penoreh getah, pekebun dan penganggur.

Katanya, semua warga tempatan berkenaan dan dua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:38 PM