POLISturut merampas beberapa bungkusan daun ketum ketika serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 24. FOTO Ihsan PDRM
POLISturut merampas beberapa bungkusan daun ketum ketika serbuan di sebuah pangsapuri di Seksyen 24. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain


POLIS menahan 10 lelaki tempatan yang leka berjudi dan memproses air ketum di dua rumah berbeza di sebuah pangsapuri di Seksyen 24, di Shah Alam, petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek aktif menjalankan kegiatan itu sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula iaitu 18 Mac lalu.

“Kira-kira 5.30 petang semalam, polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Shah Alam menyerbu dan menangkap lapan lelaki tempatan ketika leka bermain judi daun terup, serta merampas 52 keping kad daun terup dan wang tunai RM 29,” katanya dalam satu kenyataan.

Ramsay berkata, bertindak di atas maklumat suspek terbabit, sebuah lagi rumah di lokasi berhampiran diserbu dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

“Polis menahan dua lelaki di rumah terbabit yang sedang memproses air ketum serta merampas dua bekas berisi rendaman dedaun dipercayai daun ketum serta tiga botol berisi air disyaki air ketum.

“Dalam pemeriksaan lanjut di rumah kosong pangsapuri itu, polis turut menjumpai dan merampas satu bekas mengandungi rendaman daun ketum dan empat bungkus plastik sampah berisi daun ketum.

“Rumah itu dijadikan tempat pemprosesan air ketum yang dipasarkan dengan harga RM20 sebotol dan kegiatan ini disyaki baru dua minggu beroperasi,” katanya.

Beliau berkata, semua ditahan berumur antara 20 hingga 30 tahun dan tiada rekod kesalahan lampau.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka , Akta Racun dan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 9:10 AM