Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Sekumpulan warga emas yang sedang asyik bermain judi Pok Deng di bangsal di tepi sawah berhampiran Taman Bersatu, Kuala Kedah, di sini, ditahan polis selepas mengepung kawasan itu, hari ini.

Mereka yang berusia antara 50 hingga 73 tahun itu pada mulanya cuba menyorok di kawasan sawah namun berjaya ditahan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada jam 4 petang tadi.

Operasi turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat 12 individu terdiri daripada 10 lelaki, seorang wanita tempatan dan seorang wanita Indonesia sedang asyik berjudi disyaki jenis Pok Deng.

SEORANG warga emas ditahan polis ketika cuba melarikan diri. FOTO ihsan polis
SEORANG warga emas ditahan polis ketika cuba melarikan diri. FOTO ihsan polis

Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki disyaki penganjur berusia 57 tahun untuk membantu siasatan.

Katanya, polis merampas 52 keping daun terup, empat kerusi plastik hitam dan satu alas meja.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM5,948 yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan itu.

"Hasil siasatan mendapati mereka terbabit dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu tetapi dalam seminggu mereka hanya bermain judi itu dua atau tiga kali.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Roze berkata, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 9:41 PM