Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Lima belas indvidu ditahan di premis yang dijadikan kasino mini di Taman AST, di sini, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nor Azman Mohammad Yusof, berkata serbuan dilakukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri pada 12.10 tengah malam tadi.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Turusnya, Asisten Superintendan Mohd Fami Jaafar mendapati ketika itu 15 pemain mengelilingi meja untuk berjudi.

“Sehubungan itu, polis menahan semua mereka iaitu 11 warga tempatan, tiga Kemboja dan satu Myanmar. Semua suspek berusia antara 20 hingga 50-an," katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya merampas RM40,446 tunai, papan alas meja, kain mempunyai lakaran 'Banker Player' dan empat kerusi.

“Selain itu, kami turut merampas 251 daun terup, 66 kiub dan kertas 'Baccarat Rule'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 5:46 PM