ANTARA barangan dan peralatan yang dirampas polis.  FOTO Ihsan Polis
ANTARA barangan dan peralatan yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lapan termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang leka berjudi di sebuah pondok di Kampung Batu 6, Lukut di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan pada 8.40 malam dalam Ops Limau sempena Tahun Baru Cina.

"Ketika tiba, didapati dua kumpulan sedang mengelilingi dua meja dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka sedang bermain judi daun terup serta mahjong.

"Kesemua mereka yang berusia antara 29 sehingga 50 tahun ditahan dan dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adi Sham berkata, hasil semakan dapati dua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

"Kita turut merampas pelbagai peralatan termasuk 52 keping kad daun terup, 152 batu mahjong, tiga biji dadu, dua meja, lapan kerusi dan empat helai kertas mahjong serta wang tunai berjumlah RM728 yang dijadikan sebagai pertaruhan," katanya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat bebas yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 9:26 AM