Ahmad Rabiul Zulkifli


SEBANYAK 633 notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap pengusaha perkhidmatan gunting rambut di seluruh negara yang dikesan mengenakan harga upah gunting rambut mahal sejak 10 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis kepada pengusaha perkhidmatan gunting rambut yang menaikkan harga perkhidmatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa.

"KPDNHEP sudah memeriksa 693 premis yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut termasuk pusat dandanan di seluruh negara. Notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap pengusaha perkhidmatan itu kerana mereka mengenakan harga upah yang tinggi daripada kebiasaan.

"Mereka diberi tempoh tiga hingga lima hari untuk menerangkan sebab dan alasan kenaikan harga perkhidmatan berkenaan.

"Rata-rata peniaga menerangkan punca kenaikan harga perkhidmatan kerana perlu menyediakan kelengkapan tertentu ketika menggunting rambut termasuk apron dan sarung tangan pakai buang bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas Program Tinjauan Timbalan Menteri KPDNHEP bersama Media Terhadap Pematuhan dalam Perintah PKPP di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia.

Rosol berkata, pihaknya mengakui memang wajar kenaikan harga perkhidmatan gunting rambut pada PKPP kerana seiring dengan SOP yang perlu dipatuhi.

"Bagaimanapun kenaikan harga perlu relevan dan tidak terlalu tinggi sehingga membebankan pelanggan. Terdapat kes yang dilaporkan, harga perkhidmatan gunting rambut yang berharga RM7 sebelum ini meningkat sehingga RM15 dan itu tidak munasabah.

"Jika naikkan harga perlu sewajarnya dan jangan mengambil kesempatan terhadap pelanggan. Paling teruk sekiranya menaikkan harga tetapi tidak menyediakan kemudahan apron dan sampul tangan seperti yang ditetapkan SOP," katanya.

Menurutnya, sehingga kini KPDNHEP tidak mengenakan sebarang kompaun atau denda kepada pengusaha perkhidmatan gunting rambut di seluruh negara.

"Setakat ini pengusaha perkhidmatan gunting rambut masih akur dengan garis panduan harga yang ditetapkan dan jika ada kes, KPDNHEP hanya perlu memberi teguran dan kes akan diselesaikan cara baik," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 2:47 PM