NURUL Ain Natasha maut di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
NURUL Ain Natasha maut di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca
Samadi Ahmad


ANGGOTA Jabatan Pertahanan Awam (APM) Sepang maut manakala rakannya cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Jenderam/Salak, Sepang hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan pada 8.20 pagi itu membabitkan Proton Iswara dan Proton Saga yang kedua-duanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Wan Kamarul berkata, anggota APM yang maut ialah penumpang Proton Iswara, Nurul Ain Natasha Mazlan, 26, dari Sungai Pelek, Selangor yang meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu Proton Iswara yang juga anggota APM, Rabbiatun Khairunnisa Mohammad Osman, 22, dan pemandu Proton Saga, seorang wanita yang memandu secara bersendirian masing-masing mengalami cedera ringan.

Katanya, ketika kejadian kereta yang dinaiki dua anggota APM itu hilang kawalan di kawasan jalan berselekoh menyebabkan terbabas dan memasuki lorong bertentangan.

"Ketika kejadian permukaan jalan basah dan rata di selekoh berbukit. Pemandu Proton Saga yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan menyebabkan pelanggaran.

"Pihak paramedik yang datang ke tempat kejadian mengesahkan kematian anggota APM berkenaan, manakala anggota APM dan pemandu Proton Saga yang mengalami cedera ringan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, dua anggota APM dalam perjalanan ke tempat kerja manakala pemandu Proton Saga menghala pulang ke rumah selepas menziarah saudara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 3:27 PM