Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 82 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Gong Batu, Setiu, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 82 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Gong Batu, Setiu, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Permaisuri: Dua maut manakala enam lagi cedera termasuk empat daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 82 Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kampung Raja di Kampung Gong Batu, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.55 petang, penumpang hadapan Proton Saga Iswara, Zaharah Ahmad, 75, dari Kampung Padang Mo'kan, Peringat, Melor, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucunya, Ahmad Syarifuddin Che Daud, 21, yang memandu kenderaan meninggal dunia di Hospital Setiu.

Dua yang parah ialah adik kepada Ahmad Syarifuddin iaitu Muhammad Zulhazizi, 19, dan rakannya, Muhammad Aliff Abdullah.

Selain itu, pemandu pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, Wahab Mohamad, 56, bersama penumpang hadapan, Rohani Ismail, 48, parah manakala dua anak mereka, Nurul Fatin Syazwani, 11, dan Muhammad Adam Aiman, 9, hanya cedera ringan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu Asisten Superintendan Burhanuddin Mustapha berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu Mitsubishi Pajero yang datang dari arah Kampung Raja menghala ke Kuala Terengganu dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga Iswara.

Beliau berkata, penumpang hadapan Proton Saga Iswara meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa yang lain dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan.

"Bagaimanapun, pemandu Proton Saga Iswara meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Enam mangsa lain masih dirawat di hospital dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga kepada arwah Zaharah iaitu Zainun Ibrahim, 43, berkata, kali terakhir dia berjumpa ibu saudaranya pagi tadi.

"Tok Ma (Zaharah) datang ke Kubang Bujuk, Kuala Terengganu minggu lalu untuk membantu persiapan majlis perkahwinan cucunya pada 1 Mei lalu.

"Jika ikutkan dia mahu balik ke Kelantan dengan menaiki bas tetapi kebetulan Ahmad Syarifuddin datang ke Terengganu atas urusan kerja mempelawa pulang bersama petang tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 11:22 PM