Arie Dwi Andika (kiri) bersama Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam pertemuan baru-baru ini. FOTO NSTP
Arie Dwi Andika (kiri) bersama Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam pertemuan baru-baru ini. FOTO NSTP
Rosyahaida Abdullah


PERSATUAN Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) berharap jalinan kerjasama bersepadu antara beberapa kementerian dapat dilakukan dalam usaha mewujudkan persefahaman berkaitan pengurusan haiwan jalanan di negara ini.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sebagai menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Bagan Serai itu atas suaranya membabitkan isu haiwan.

Jelas beliau, usaha itu akan sukar dilaksanakan tanpa kerjasama beberapa kementerian berkaitan bagi memastikan hak semua pihak baik haiwan mahupun manusia di sekeliling tidak terabai tanpa sedar.

"Hasil pertemuan dengan Dr Noor Azmi, beliau mengakui tidak bersetuju dengan saranan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Bon Chye yang mahu menghapuskan semua haiwan jalanan terutamanya anjing di seluruh negara.

"Dr Noor Azmi juga menyatakan komitmen beliau dan berjanji polisi sifar anjing jalanan itu tidak akan dilaksanakan di Malaysia. Bagaimanapun, Animal Malaysia berpendapat, kerjasama beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan turut diperlukan untuk menjadikan usaha ini berhasil," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Arie berkata, beliau sudah mengatur pertemuan dengan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang dijadualkan dua minggu lagi selain pihak berkepentingan lain dari semasa ke semasa untuk tujuan sama.

Dalam pada itu, jelas Arie, seperti sering kali dinyatakan beliau sebelum ini, kaedah terbaik disarankan dalam pengurusan haiwan jalanan adalah menerusi tangkapan secara berkaedah dan berperikemanusiaan ke atas semua haiwan jalanan khususnya anjing dan kucing.

Ia katanya disusuli dengan pemandulan untuk mengawal populasi haiwan terbabit serta penempatan semula di mana-mana kawasan khas yang boleh diuruskan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin mengambil tanggungjawab.

"Dalam hal ini, saya kira Kerajaan Negeri juga boleh memainkan peranan menyediakan kawasan rizab untuk tujuan penempatan haiwan jalanan ini di negeri masing-masing.

"Saya yakin usaha ini akan memberi kelegaan kepada lebih dua juta pencinta haiwan yang selama ini secara vokal memperjuangkan hak haiwan jalanan," katanya.

Dua hari lalu, Animal Malaysia menerusi laman rasmi Facebook menyatakan kelegaan apabila Dr Noor Azmi dilaporkan berjanji untuk tidak melaksanakan polisi sifar haiwan jalanan untuk anjing dan kucing yang dikatakan dicadang Dr Lee sebelum ini.

Januari tahun lalu, Dr Lee dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan pelaksanaan polisi sifar anjing jalanan untuk semua kawasan yang digazetkan sebagai rabies dalam usaha mengawal penularan penyakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 2:28 PM