DUA ekor anjing yang mati dibunuh di Medan Warisan, Kuantan, Pahang. semalam dan kelmarin. FOTO Ihsan Animal Malaysia
DUA ekor anjing yang mati dibunuh di Medan Warisan, Kuantan, Pahang. semalam dan kelmarin. FOTO Ihsan Animal Malaysia
Redzuan Muharam


USAHA menjejaki individu yang membunuh dua ekor anjing dengan seekor daripada haiwan itu dibakar di Medan Warisan, Jalan Air Putih, Kuantan, Pahang, masih giat dijalankan.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia), Arie Dwi Andika berkata, laporan polis sudah dibuat oleh individu yang menemui bangkai haiwan berkenaan semalam.

Beliau berkata, petugas dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang juga sudah ke lokasi kejadian pagi hari ini untuk melakukan siasatan.

Katanya, petugas JPV Pahang turut mengambil bangkai haiwan berkenaan untuk dihantar ke jabatan forensik bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Kejadian itu disyaki berlaku kelmarin apabila seekor daripada anjing ditemui di tempat pembakaran sampah berhampiran dengan diikat pada jaring dan ada kesan kebakaran pada badannya.

"Manakala seekor lagi anjing ditemui keesokannya (semalam) dengan kaki berikat dan ada kesan tulang patah pada badannya di kawasan sama.

"Bangkai kedua-dua haiwan berkenaan ditemui penduduk yang sering memberi makanan dan ada kemungkinan anjing itu dipukul atau diracun hingga mati sebelum dibakar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Arie berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat mengenai diminta menghubungi Animal Malaysia di talian hotline dan Whatsapp, 011-20901097.

"Jika tidak berpuas hati terhadap haiwan jalanan sekalipun, janganlah sampai membunuh.

"Sebaliknya, maklumkan kepada pihak berkuasa untuk pengurusan haiwan jalanan atau bersama mana-mana badan pengurusan (haiwan) untuk mengurusnya.

"Kerajaan dan pihak berkuasa terbabit perlu memikirkan bagaimana memberi kesedaran dan pendidikan mantap kepada masyarakat mengenai kesantunan terhadap haiwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 11:08 PM