DIN (bukan nama sebenar) kiri, mengenali rakan baharu di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai yang menjadi penempatan sementara gelandangan. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DIN (bukan nama sebenar) kiri, mengenali rakan baharu di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai yang menjadi penempatan sementara gelandangan. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

HUBUNGAN keluarga yang renggang selepas kehilangan ibu tersayang ketika berusia 15 tahun menyebabkan Din, 29 (bukan nama sebenar) akhirnya mengambil keputusan untuk keluar rumah dan hidup bersendirian.

Namun, entah di mana silapnya, kehidupan anak kedua daripada tiga beradik berasal dari Kota Tinggi itu tidak seperti yang dia harapkan.

Sejak lebih setahun lalu Din tinggal bergelandangan di Bandaraya Johor Bahru dan tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menyara hidup.

"Saya tidur di bawah jambatan sekitar bandar raya dan menjadi tukang sapu. Saya tidak bercampur dengan sesiapa tetapi tidak meminta sedekah.

"Walaupun mula merindui keluarga, saya tidak mahu mereka cari saya.

"Saya tidak mahu kembali dalam keadaan seperti ini. Beri peluang kepada saya untuk mengubah diri dan tidak bergantung pada orang lain," katanya.

Din kini ditempatkan sementara di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai sejak dua bulan lalu bersama 114 golongan senasib susulan pandemik Covid-19 dan pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Din, dia bersyukur kerana diselamatkan pihak berkuasa dan menempatkannya di pusat penempatan sementara itu.

"Di sini, orang yang jaga kami (gelandangan) saya panggil abah dan mak. Sebab mereka selalu suruh bersihkan diri, jaga kesihatan dan jaga diri. Ia mengingatkan saya pada arwah ibu.

"Apabila berada di sini, saya dapat sabun dan berus gigi. Mereka jaga saya seperti keluarga, pastikan saya makan dan bercampur dengan orang. Saya jadi terharu mengenangkan perasaan ini pernah wujud sewaktu arwah ibu masih ada," katanya.

Katanya, Ramadan pada kali ini lebih bermakna kerana keprihatinan masyarakat yang memberi dorongan dan tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan lebih teratur.

"Saya ingin menjadi lebih baik. Di sini ada pelbagai program pengisian yang dijalankan. Ada ruang beribadat dan diberi juga peluang belajar menjadi orang berguna," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 5:40 PM