NASRI (tengah) menunjukkan parang dan syabu dipercayai milik suspek yang ditembak mati di kawasan ladang kelapa sawit Rimmer. FOTO Juwan Riduan
NASRI (tengah) menunjukkan parang dan syabu dipercayai milik suspek yang ditembak mati di kawasan ladang kelapa sawit Rimmer. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG pengedar dadah ditembak mati selepas menyerang polis menggunakan parang ketika ditahan di Ladang Sawit Rimmer di Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian 9.30 malam itu, suspek yang dikenali sebagai Tas@Tans, 30, itu dikenal pasti sebagai orang dikehendaki polis membabitkan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Suspek dipercayai terbabit dalam kes mencederakan seorang lelaki dengan sengaja menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya pada 5 Mei lalu, di ladang yang sama.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian, beliau mengetuai pasukan polis menjalankan rondaan di sekitar Jalan Silabukan di Lahad Datu.

Beliau berkata, ketika rondaan itu dijalankan, pasukan polis bertembung dengan seorang lelaki yang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, polis kemudiannya cuba menahan lelaki itu untuk pemeriksaan, namun suspek bertindak melompat dari motosikalnya dan terus melarikan diri ke kawasan ladang sawit.

"Polis mengejar lelaki terbabit, namun suspek menyerang dengan melibas parang ke arah anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan beberapa das tembakan sebelum suspek rebah dan mati di tempat kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, petang hari ini.

Nasri berkata, pengecaman wajah mendapati suspek tersenarai orang yang dikehendaki polis.

"Suspek menggunakan sebilah parang sepanjang 56 sentimeter untuk menyerang polis.

"Selain itu, suspek turut membawa tiga bungkus plastik berisi enam paket kecil disyaki dadah syabu seberat 13.6 gram," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 5:13 PM