ANTARA barangan yang disita. FOTO MD FUZI ABD LATEH
ANTARA barangan yang disita. FOTO MD FUZI ABD LATEH
Md Fuzi Abd Lateh


MAJLIS Daerah Hulu Selangor (MDHS) terpaksa memecah masuk premis kedai runcit di Jalan Anggerik, Bukit Sentosa, selepas pemilik bertindak mengunci dan menyorok untuk mengelak dari disaman kerana berniaga tanpa lesen sah.

Yang Dipertuanya, Shukri Mohamad Hamin berkata demikian berhubung operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama agensi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia Balai Bukit Sentosa, pagi semalam.

Menurutnya, kedai itu disita dan petugas terpaksa memecah masuk dengan memotong kunci yang dipasang di pintu kedai itu,

"Ia dilakukan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007 yang membolehkan pemeriksaan menyeluruh dilakukan dalam sesebuah premis perniagaan.

"Selepas masuk dalam kedai itu, kami dapati dua warga Indonesia menyorok di situ. Mereka mengaku bekerja di kedai itu.

"Pegawai kami juga terpaksa memotong rak dan tong ikan yang diletakkan di laluan pejalan kaki menggunakan mesin gergaji besi kerana menyebabkan kacau ganggu laluan awam dan mencemar kebersihan kawasan berkenaan. Semua barang itu disita," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi bermula 10.30 pagi di Jalan Seroja, Bukit Sentosa terhadap premis kedai runcit yang didapati melakukan kesalahan dengan meletakkan barang jualan di tempat awam tanpa kebenaran sah MDHS.

"Pihak kami menyita barang-barang yang diletakkan di kaki lima kedai itu yang menyalahi peraturan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Selain dua kedai disita, keseluruhan operasi berjaya menyita 38 barangan iaitu empat penimbang digital, dua mesin kira-kira, empat parang, mesin parut kelapa, 10 tong gas, enam rak besi, empat bakul kecil dan satu meja besi. Semua barangan rampasan itu dibawa ke stor MDHS di Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 10:15 AM