Zatul Iffah Zolkiply


KUIH nekbat antara makanan tradisional yang sinonim dengan masyarakat Pantai Timur khususnya Terengganu setiap kali Ramadan.

Sepanjang Ramadan, hidangan yang hanya menggunakan dua bahan iaitu tepung dan telur pasti dinantikan peminatnya.

Bagi menikmati kelazatannya, nekbat yang dibakar perlu dimasak bersama air gula atau gula melaka dan enak dihidangkan ketika sejuk.

Justeru, kedatangan Ramadan menjanjikan rezeki buat pasangan suami isteri dari Kampung Tualang, Manir, Kuala Terengganu yang menghasilkan kuih tradisional itu sejak 17 tahun lalu.

Maimun Embong, 50, berkata, dia menghasilkan nekbat pada Ramadan sahaja namun akan membuatnya sekiranya menerima tempahan pada bulan yang lain.

Katanya, dia bersama bersama suami, Ngah Embong, 52, mula membuat nekbat selepas solat Subuh sehingga 11 pagi sepanjang Ramadan.

"Bahan itu akan diadun sehingga kembang sebelum dibakar dalam tempoh antara dua hingga tiga minit.

"Setiap hari, kami mampu menghasilkan sehingga 4,000 biji nekbat bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan 300 biji telur dan 20 kilogram tepung digunakan.

"Permintaan nekbat ini sangat tinggi dan Alhamdulillah, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, permintaan terhadap nekbat tidak terjejas," katanya yang menjadi generasi ketiga keluarga yang meneruskan penghasilan kuih tradisional ini.

Maimun berkata, nekbat biasanya tahan sehingga tiga hari pada suhu bilik atau sehingga setahun jika diletakkan di tempat sejuk beku.

Katanya, lima biji nekbat dijual dengan harga RM1 dan pelanggan biasanya membuat tempahan awal.

"Disebabkan permintaan yang tinggi, saya dan suami menggunakan oven lebih besar bagi menggandakan jumlah nekbat yang dihasilkan.

"Sebelum ini, kami hanya mampu menghasilkan 2,000 biji sehari menggunakan dapur kayu tetapi kini pengeluaran dipertingkatkan sehingga 4,000 biji sehari menggunakan cara moden," katanya.

MAIMON Embong, 50 bersama suami, Ngah Embong, 52 menunjukkan kuih nekbat yang siap dibakar di kediamannya, Kampung Tualang. FOTO Ghazali Kori
MAIMON Embong, 50 bersama suami, Ngah Embong, 52 menunjukkan kuih nekbat yang siap dibakar di kediamannya, Kampung Tualang. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 2:55 PM