TINJAUAN Pasar Jalan Othman yang ditutup di Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
TINJAUAN Pasar Jalan Othman yang ditutup di Petaling Jaya. FOTO Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


RUMAH yang tidak berpenghuni dan didapati kosong di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, di Petaling Jaya, akan dipecah masuk bagi memastikannya berkenaan benar-benar kosong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan semua individu yang berada dalam kawasan PKPD disaring dan diperiksa.

"Setakat ini kita sudah mengesan ada beberapa rumah di Zon A dan Zon B yang kosong dan pegawai serta anggota polis akan memecah masuk kediaman berkenaan kerana kita nak betul-betul sahkan rumah itu kosong.

"Kita juga akan membuat laporan berhubung tindakan pecah masuk rumah berkenaan untuk sebarang proses susulan selepas PKPD berakhir 23 Mei ini," katanya ketika ditemui di pusat operasi PKPD, Pasar Jalan Othman, hari ini.

Nik Ezanee berkata, setakat ini hampir kesemua penduduk di ketiga-tiga zon PKPD Pasar Jalan Othman sudah disaring kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jadi tumpuan susulan kita adalah mengesan mana-mana individu yang masih belum disaring dan diperiksa, itu menjadi keutamaan pada masa ini dalam mengekang dan menyekat penularan Covid-19," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di keseluruhan daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee berkata, beliau amat berpuas hati dengan kesedaran yang ditunjukkan penduduk dan masyarakat di daerah berkenaan.

"Mungkin untuk peringkat awal penjarakan sosial dilihat agak janggal namun kita (polis) berusaha mendidik masyarakat untuk cuba mengamalkan norma kehidupan baru," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 3:14 PM