Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menggunakan dron bagi memantau dan memeriksa kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman, di Petaling Jaya.

Pemantauan itu dilakukan Unit Teknikal, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu tinjauan secara keseluruhan pemeriksaan ke atas setiap premis di kawasan berkenaan dari udara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketika rakaman secara langsung dibuat, beliau bersama Pegawai Daerah Petaling dan Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dapat melihat tugasan pemeriksaan di lapangan dalam kawasan PKPD.

"Dari rakaman ini kita dapat merancang atau menambah-baik sebarang proses pemeriksaan yang dibuat oleh pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Malah sebarang aktiviti atau pergerakan penduduk dalam kawasan PKPD juga mudah diawasi dan akan diberi peringatan melalui pembesar suara pada dron berkenaan," katanya ketika ditemui di Pasar Jalan Othman, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama pegawai daerah dan pegawai kanan MBPJ meninjau proses pemeriksaan saringan kesihatan ke atas sebuah rumah dan berkomunikasi menggunakan set walkie-talkie.

PENDUDUK di Seksyen 3 membuat saringan Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
PENDUDUK di Seksyen 3 membuat saringan Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Petaling Jaya. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau berkata, penggunaan dron juga mengurangkan risiko jangkitan terhadap petugas barisan hadapan yang memperoleh maklumat diperlukan secara langsung di antara pusat operasi diwujudkan di luar kawasan PKPD dan pasukan pemeriksa saringan di dalam kawasan PKPD.

"Setakat ini seramai 2,192 penduduk sudah disaring membabitkan ketiga-tiga zon iaitu Zon A, Zon B dan Zon C di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.

"Daripada jumlah itu 494 individu adalah warga asing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 1:23 PM