PENDUDUK di PJ Old Town menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chen Moh, semalam. FOTO Fathil Asri.
PENDUDUK di PJ Old Town menunggu giliran untuk menjalani saringan Covid-19 di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chen Moh, semalam. FOTO Fathil Asri.
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA pusat saringan dibuka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pasar Jalan Othman (PJO), Petaling Jaya, yang membolehkan 2,614 orang menjalani ujian Covid-19.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, setakat semalam, 509 orang sudah disaring membabitkan 361 warga tempatan dan 148 bukan warga asing.

Katanya, ujian saringan akan terus dilakukan setiap hari hingga semua penduduk di situ disaring yang membabitkan kediaman dan premis perniagaan dalam lingkungan 3.4 kilometer persegi.

"Manakala, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat agihan sebanyak 659 bakul makanan yang terdiri daripada 15 jenis barang keperluan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Nik Ezanee berkata, setiap bakul makanan itu mampu menampung keperluan empat orang bagi tempoh lima hari.

"Kami juga ingin memaklumkan pembetulan nombor telefon bilik gerakan PKPD PJO iaitu 013-2666165 bukan 016-9809389 seperti dalam kenyataan media sebelum ini.

"Justeru, polis menasihati penduduk di sini (PKPD) supaya bersabar dan sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua agensi yang terbabit," katanya.

Tiga zon dalam kawasan PKPD itu adalah Zon A iaitu Jalan Penchala, Jalan 4/33, Jalan 4/37, Jalan 4/39, Jalan 4/41, Jalan 4/44, Jalan Terus 4/42, Jalan 4/43, Jalan 4/46 dan Jalan Othman 4/4D.

Zon B pula merangkumi Jalan 2/29, Jalan 2/29A, Jalan 2/27, Jalan 2/32, Jalan 2/25, Jalan 2/34, Jalan 2/26, Jalan 2/34A, Jalan 2/23, Jalan Dispensary 2/38 dan Jalan Pasar 1/21.

Sementara, Zon C pula membabitkan Jalan Selangor, Lorong 3/57D, Lorong 3/57C, Jalan Rida 3/56 dan Jalan Sentosa 3/57.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 2:42 PM