ABDULLAH ABU BAKAR
ABDULLAH ABU BAKAR
Roselan Ab Malek


PELANTIKAN Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Pengerusi Felda yang baru disambut baik warga Felda dengan harapan mampu mengembalikan kegemilangan agensi itu.

Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM) Datuk Abdullah Abu Bakar menyifatkan pemilihan Idris tepat pada waktunya dan amat dinantikan oleh warga Felda.

"Ini kerana warga Felda menaruh keyakinan kepada Idris untuk membawa kembali kegemilangan Felda yang semakin suram dan berdepan krisis kewangan ketara.

"Bagi membantu membawa misi mengembalikan kegemilangan itu, Idris perlu membabitkan generasi baru Felda profesional yang berwibawa dan berintegriti untuk membantu beliau memajukan Felda.

"Diharap trend Felda yang meminggirkan sumbangan generasi baharu dalam membuat keputusan penting berkaitan masa dengan peneroka jangan diulang dalam pentadbiran Felda," katanya di sini, hari ini.

Untuk rekod, ada 112,638 peneroka dari 11 Wilayah Felda di seluruh negara.

Pertambahan generasi kedua dan ketiga menyaksikan warga Felda berjumlah hampir tiga juta orang.

Menurut Abdullah, ekoran sikap memandang enteng kemampuan generasi baharu Felda ini mendorong golongan muda profesional dan beridealisme rasa terpinggir seterusnya menjauhkan diri.

Abdullah turut menggesa Idris melakukan rombakan besar-besaran dalam kalangan pegawai-pegawai kanan Felda yang terbukti gagal memacu pembangunan Felda dan menjaga kebajikan peneroka.

"Kegagalan pegawai kanan Felda turun ke tanah rancangan Felda sekerap mungkin menyebabkan banyak masalah di rancangan Felda tidak selesai," katanya yang juga generasi baru Felda Lembah Klau, Raub.

Setiausaha Dewan Perniagaan Bumiputera Felda Mohd Mokhtar Ghazali berkata, ketokohan Idris diyakini mampu merealisasikan misi dan visi Felda.

"Landasan Felda yang dirancang dalam era kegemilangan Felda perlu digilap semula demi mengangkat status sosial, pendidikan dan ekonomi warga Felda," katanya.

Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menonjolkan dan memberi keutamaan kepada golongan profesional yang juga anak Felda untuk mengisi kekosongan jawatan penting di agensi itu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Masjid Felda Wilayah Jengka Razak Daud berkata, Idris perlu segera melakukan tindakan bersepadu untuk mengatasi beberapa isu yang sering dibangkitkan oleh warga Felda.

"Pengetahuan dan pengalaman Idris amat diperlukan ketika ini supaya aset tetap kerajaan iaitu Felda akan terus memberikan manfaat kepada warga peneroka dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 5:09 PM