KEADAAN Muhammad Farhan Ali. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN Muhammad Farhan Ali. FOTO Ihsan Pembaca
Ruwaida Md Zain


TINDAKAN gila dua remaja `merempit' akhirnya menyebabkan seorang pemuda putus jari manis dan jari hantu sejurus dirempuh suspek yang berlumba haram.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam semalam, mangsa, Muhammad Farhan Ali, 20, yang turut menunggang motosikal dilanggar suspek di Jalan Sungai Buaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Banting untuk pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Buaya.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila dua remaja berusia 19 tahun dipercayai berlumba menunggang motosikal dari arah Jalan Pusara menghala ke Jalan Sungai Buaya.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, salah sebuah motosikal yang berlumba merempuh motosikal ditunggang Muhammad Farhan dari arah bertentangan," katanya.

Azizan berkata, akibat pelanggaran itu Muhammad Farhan putus dua jari (jari manis dan jari hantu) serta cedera di tangan, kepala dan kaki.

"Salah seorang remaja yang merempuh mangsa mengalami kecederaan di muka, kepala, patah tangan dan patah kaki manakala rakannya, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dua individu yang cedera parah itu dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi ditahan polis," katanya.

Siasatan mendapati dua remaja yang berlumba itu menunggang motosikal tanpa lesen.

"Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:43 PM